Perlawanan ulangan ‘Final Piala Malaysia 2016′ antara The Red Giants dan The Red Eagles berakhir dengan kedua-dua pasukan hanya berpuas hati dengan berkongsi mata semalam. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk mencari jaringan sepanjang 45 minit separuh masa perlawanan ke tujuh saingan Liga Super musim ini.

Kedudukan 0-0 kekal hingga ke minit ke 80′ apabila skuad The Red Eagles dihadiahkan sepakan percuma apabila pertahanan The Red Giants bertindak menjatuhkan Syazwan Zainon di luar kotak penalti The Red Giants. Pemain import Kedah, Sandro Da Silva tidak mensia-siakn peluang terebut apabila beliau berjaya menyempurnakan sepakan percuma tersebut untuk jaringan pendahuluan buat pasukan Kedah pada minit ke 81’.

Sudah seakan-akan perlawanan dilihat hampir menyebelahi Lang Merah, kegembiraan para penyokong hijau kuning bagaimanapun tersentak apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat The Red Giants pada minit-minit akhir masa tambahan. Meskipun penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal berjaya menepis sepakan penalti yang diambil oleh Victor Astafei, namun Juliano Mineiro pantas menyambar bola dan merembat masuk gol penyamaan buat The Red Giants.

Dengan keputusan tersebut, The Red Giants kini berjaya memintas Johor DT untuk berada di tangga ketiga liga dengan 12 mata, manakala pasukan Kedah turun ke tangga kedua dengan 15 mata, dipintas oleh skuad Tok Gajah di tangga pertama dengan 16 mata. The Red Giants dijadualkan akan bertemu pasukan di tangga kelima, Perak The Bos Gaurus di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.

 

Anak Bapak

Anak Selangor, pemerhati sosial dan penyokong setia The Red Giants.