The Red Giants akan berdepan seteru final Piala Malaysia musim lalu, Kedah The Red Eagles di Stadium Selayang, malam ini. Perlawanan ke tujuh saingan Liga Super musim ini antara skuad merah kuning dan hijau kuning kini menjadi tumpuan peminat dan penyokong kedua-dua pasukan. Penyokong kedua-dua pasukan dijangka akan memenuhi segenap ruang Stadium Selayang bagi menyaksikan aksi ulangan Final Piala Malaysia musim lalu yang juga melibatkan kedua-dua pasukan.

Pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, kedua-dua pasukan berentap sehingga akhirnya terpaksa ditentukan oleh penentuan sepakan penalti apabila perlawanan 120 minit berkesudahan seri 1-1. Kedah bagaimanapun muncul juara buat kali kelima apabila penentuan sepakan penalti  tidak memihak kepada The Red Giants dengan keputusan jaringan 6-5.

Pada musim lalu, pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam siangan Liga Super menyaksikan The Red Giants gagal merekodkan kemenangan. Pada aksi pusingan pertama Liga Super musim lalu, The Red Giants dan The Red Eagles berkongsi mata apabila perlawanan berkesudahan seri 2-1. Namun The Red Giants gagal membawa pulang sebarang mata pada aksi pusingan kedua liga apabila tewas tipis 1-0 ke tangan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Saingan getir pastinya menanti The Red Giants apabila The Red Eagles kini merupakan pendahulu liga dengan 14 mata. Pasukan Kedah juga merupakan satu-satunya pasukan Liga Super yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang enam perlawanan. Selangor kini ditempat keempat dengan 11 mata, tewas sekali kepada PKNS FC di Shah Alam, dua kali berkongsi mata dan tiga kemenangan. Berbanding pasukan pelawat yang rata-rata masih mengekalkan pemain musim lepas, The Red Giants bakal mempertaruhkan pemain-pemain muda untuk menyahut cabaran juara Piala Malaysia musim lalu.

Anak Bapak

Anak Selangor, pemerhati sosial dan penyokong setia The Red Giants.