Kita pasti tidak asing dengan basikal kerana ianya sejak dari kecil kita sudah mengenal dan belajar menaiki basikal. Tetapi tahukah anda 95% kanak-kanak berpengalaman dan tahu menaiki basikal pada umur 7 tahun ke bawah. Tetapi hanya 10 peratus kanak-kanak ini membesar dan masih mengayuh basikal.

Ada 10 perkara yang patut memberikan anda semangat untuk mula berkayuh kembali:

  1. Mengurangkan tekanan – Dengan berkayuh kita akan dapat melepaskan tekanan-tekanan kerja dan perkara yang menganggu fikiran kita. Ini kerana otak kita akan bekerja dan menfokuskan kepada kayuhan dan meningkatkan keupayaan otot-otot yang digunakan untuk mengayuh basikal
  2. Mengurangkan risiko kencing manis dan darah tinggi – ramai pesakit kencing manis dan darah tinggi mendapati aktiviti berbasikal telah menurunkan kadar gula dan tekanan dalam darah mereka. Ini sudah terbukti dan aktiviti ini amat digalakkan untuk pesakit-pesakit kencing manis dan darah tinggi.
  3. Mengurangkan risiko sakit lutut – Ramai orang dewasa mengalami sakit lutut terutama bila umur menjangkau 40. Dengan berbasikal, lutut kita tidak akan merasa tertekan seperti aktiviti larian atau jogging.Berbasikal boleh menjadi alternative kepada mereka yang menghadapi masalah ini.
  4. Mengurangkan berat badan – Berbasikal menjadi salah satu aktiviti yang berkesan untuk menurunkan berat badan. Satu jam kayuhan boleh membakar kalori sehingga 700 kalori bergantung kepada berat badan kita. Ada yang Berjaya menurunkan berat badan dari 170kg kepada 80kg dengan berbasikal.
  5. Menjadikan jantung dan paru-paru lebih sihat – Berbasikal juga merupakan salah satu aktiviti kardio yang baik untuk jantung kita. Kita tahu serangan jantung adalah pembunuh utama lelaki di Malaysia. Berbasikal selama sejam secara konsisten boleh mengurangkan risiko ini.
  6. Membuat lelaki kembali sihat – Fakta ini khusus kepada lelaki 40an yang berkahwin. Biasanya pada umur ini prestasi dalam bilik tidur akan menurun. Dengan berbasikal akan membantu mengatasi masalah ini. Jangan tak cuba!
  7. Melihat dunia dari sudut berbeza – Dengan berbasikal kita dapat melihat tempat-tempat yang biasanya tidak dapat dilihat dengan menaiki kereta. Tempat yang popular seperti putrajaya mempunyai banyak lokasi menarik yang hanya boleh dilalui dengan berbasikal. Ia boleh membuka mata kita dan memberi satu keseronokan bila kita sampai ke tempat-tempat yang cantik dan menarik.
  8. Membakar lemak bukannya minyak – Siapa tak mahu lemak nya dibakar bukan? Tanpa perlu membayar untuk minyak yang harganya tidak menentu sekarang, mengapa tidak berkayuh ke tempat kerja jika keadaan sesuai.
  9. Menjimatkan duit! – Ada banyak aktiviti sukan yang popular memerlukan belanja yang tinggi. Berbasikal boleh dimulakan dengan kos yang minimum. Dengan beberapa ratus kita dapat membeli sebuah basikal dan mula berkayuh. Berkayuh seorang pun boleh tetapi sekarang kita boleh lihat ramai orang mula berkayuh di kawasan yang kita tinggal.
  10. Menyelamatkan dunia!! Ya!! Ini semestinya menjadi sebab penting untuk anda mula berbasikal kerana ianya dapat membantu bumi kita dengan mengurangkan asap kenderaan. Menjadikan bumi kita lebih sihat untuk anak-anak cucu kita.

Oleh : Engku Iskandar <e.iskandar@gmail.com>

Anak Bapak

Anak Selangor, pemerhati sosial dan penyokong setia The Red Giants.