STROK HABA, KESAN KEPADA KESIHATAN

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan kes kematian seorang pelatih PULAPOL akibat strok haba (heat stroke) di Hospital Segamat pada 16 Mac 2016. Berikutan itu, pihak Kementerian Kesihatan telah menerima laporan terdapat 99 kes penyakit berkaitan haba (heat related illness) dirawat di fasiliti-fasiliti kerajaan seluruh Malaysia setakat 28 Mac 2016. Gelombang haba secara global atau equinoks yang berlaku telah menyebabkan peningkatan suhu yang ketara melebihi suhu biasa 27°C dan boleh membawa kemudaratan yang besar terutama kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas.

 

Apakah Penyakit Berkaitan Haba (Heat Related Illnesss)?

Penyakit berkaitan haba merupakan kesan akibat terdedah kepada cuaca panas yang melampau atau dalam tempoh yang panjang. Ia boleh bermula daripada masalah yang ringan seperti ruam merah/panas (heat rash), keletihan haba (heat exhaustion), kekejangan haba (heat cramps), sehinggalah kepada strok haba (heat stroke) yang berbahaya dan boleh membawa maut.

Bagaimana Strok Haba Berlaku?

Apabila badan kehilangan air dan garam mineral penting melalui peluh yang dikeluarkan selepas aktiviti fizikal yang berterusan atau kepanasan melampau, ia akan mengganggu sistem pengaliran darah yang mengakibatkan perjalanan di otak terganggu dan menyebabkan keletihan haba. Apabila situasi ini berpanjangan, diikuti dengan dehidrasi (dehydration) akibat terdedah kepada cuaca panas melampau dalam tempoh yang lama, ia akan menyebabkan kegagalan sistem kawalan suhu sehingga fisiologi tubuh tidak mampu menghasilkan peluh untuk menyejukkan badan. Strok haba juga boleh berlaku akibat penghasilan haba dalaman (internal heat production) kesan daripada aktiviti fizikal yang kuat dan berterusan.

Siapakah Golongan Berisiko Mendapat Strok Haba?

  • Warga emas dan kanak-kanak
  • Mereka yang terlibat dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan dan lain-lain
  • Pesakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung, darah tinggi, penyakit kelenjar tiroid, dan masalah pernafasan seperti asma.
  • Anggota beruniform seperti pegawai polis, tentera, pengawal keselamatan dan lain-lain.

 

Gejala Dan Tanda-tanda Strok Haba

  • Suhu badan yang tinggi melebihi 40°C
  • Kekejangan
  • Loya dan muntah
  • Lemah daya tumpuan akibat keletihan
  • Berpeluh yang sangat banyak (peringkat awal)
  • Tekanan darah rendah
  • Sehingga menjadi kurang berpeluh walaupun
  • Kulit kering dan kemerahan dalam suhu panas
  • Lemah otot-otot badan
  • Pitam
  • Denyutan nadi yang pantas
  • Sawan
  • Pening dan sakit kepala

 

Apakah Langkah Mencegah Strok Haba?

  • Kurangkan sebarang aktiviti luar yang terdedah kepada matahari.
  • Pakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada terdedah kepada cahaya matahari secara langsung
  • Minum air dengan banyak dan secukupnya
  • Mandi atau buka kipas angin
  • Memakai pakaian yang nipis dan longgar
  • Kurangkan pengambilan kafein yang mempercepatkan proses dehidrasi
  • Elakkan berada di kawasan terbuka apabila cuaca panas

 

Bagaimanakah Tindakan Merawat Ketika Kecemasan?

  • Dapatkan bantuan perubatan
  • Bawa pesakit keluar daripada kawasan yang panas
  • Letakkan kain basah dan sejuk pada badan
  • Gunakan kipas angin untuk menyejukkan badan
  • Tanggalkan pakaian yang ketat
  • Minum air dengan kerap

 

Strok haba tidak boleh dipandang ringan kerana ia berisiko membawa maut jika tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Bertepatan dengan saranan ‘Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati’, kita dinasihatkan agar mengurangkan sebarang aktiviti luar yang dapat meningkatkan risiko komplikasi strok haba.

 

<Dr. Hidayah, Pegawai Perubatan dan Kesihatan>

 

 

 

 

 

Anak Bapak

Anak Selangor, pemerhati sosial dan penyokong setia The Red Giants.